Tuesday, June 30, 2009

Serah Awak, Serawak, Sarawak


Sorry, ini bukan pasal Asap. Cuma saya terfikir pasal benda ni....


Ada satu hari Sultan Pengiran Brunai suka hati
Sama James Brook perwira berani
Baginda tertekan kanan dan kiri
Tapi lanun putih ini ada meriam besi

Pasal dia kasi lari semua lanun dan pengendap
Jadi dia panggil James Brook datang mengadap
Risau JB bawa interpreter takut salah cakap
Menyembah duli pakai smart topi ala pengakap

Sultan kata, “Beta seronok sebab kamu kuat
Beta sudah lama lawan itu orang sampai meluat
Tapi kamu terror kasi halau mereka ke darat
Beta tak mau lagi kena kacau walau sekerat

Awak sudah tunjuk gagah pertiwi
Beta sangat pemurah sangat mengerti
Jadi beta kasih sama awak ini negeri
Dia nama awak boleh pilih sendiri”

James Brook turut seronok, melangkah lagak
Sebab dikira hapus semua penyangak
Jadi dia tunduk perlahan bergerak
Sambil pikir satu nama cari merawak
Sultanpun kata lagi “kasih serah awak”

Sebab James Brook orang melanau sesat
Kurang bahasa takut kesat
Dia tanya penterjemah, “he says what?”
Jadi penterjemah ulanglah kata daulat

He simply says “the name serah awak”.
James Brook ajuk “Serawak”
Sultan mengangguk ucap “Serah awak”
Tapi bila jurutulis Inggeris tulis, dia eja “Sarawak”

Kalau cina jadi sultan brunai time tu
Saya pikir dia akan sebut “Sera lu”
Tapi ragam orang putih kita bukan tak tahu
Nanti dia eja “Sara Loo”

Negeri tanah tumpah darahku
Sara Loo .................oo...ooo....uuuu...

Temenggong Kita


Mendabik dada tunduk kepala
Enggang masih pendek bulu kerega
Sayap pengulu sangkut
Tangga siapa tinggi menjulang awan

Mata anginpun terbuka
Anak ayam kekok berkokok menunggu pagi menyapa

Jangan gerun hentakan helang terbang
Peduli gengam besi emak beruang
Gemakan bunyi tawak bumbung langit
Gendangkan nada tarian sejuk mata air
Pukul!
Warnakan kilat sarung kulitmu yang retak
Kucup lidah lidah yang menyengat
Serukan panggilan kepak turun
Naik Temenggong kita

Monday, June 29, 2009


Melanun melintasi senja dan pagi
Menyelam timbul tanpa lelah peduli
Menghunus segala macam pedang
Membedil pusing keliling
Watak babi gila

Perlukah dia merampas lagi kota runtuhan
Komikku silap
Mata satu rupanya celik
Nampak hingga malam telah tidur
Lanun
Seribu mata mata

Sunday, June 28, 2009

Bulak Dalam Empat Kerat

Deretan teratak pelan biru
Meremek kemek kepala hantu
Membelah hutan zaman seribu
Menunggang balik ulu perahu

Hujan panas bukan penentu
Putera makhota telunjuknya satu
Berhempas pulas memotong waktu
Seru diraja segera ke situ

Didik anak pandai berenang
Lantik pengulu lari berperang
Tabik mendabik membanting tulang
Lantik menteri arah ke seberang

Penghuni rimba menyahut kata
Keluar rumah mengheret semua
Kapal belayar mengangkat surga
Sarang berlabuh di tepi kota
Roda mendayung alo Malau
Menampar tebing sungai Melinau
Menghempis hidung menghidu sekau
Duit pampasan pandai merayau

Wang ringgit berjuta juta
Terbahak habis pasaraya cina
Anak adik bermasam muka
Pintu belakang dibuka paksa

Tangga rapuh menakung beban
Patah kayu berpotong papan
Kandang bu’in di bawah jamban
Teratak biru dibaham zaman

Beruk sarkis terseliuh kaki
Orang Belanda mememek pipi
Tangguk kenyalang tersepit dahi
Cengkerik rindu menghentak kaki

Kata Kena Mengena
Apa lagi yang tidak kena apabila semua terkena
Terkena kena
mengena kena
Siapa mengena
siapa terkena
Kena mengena semua terkena
Jangan saja kata
Tidak mengena
Tidak kena mengena
siapa kena

Lompat si kotak lompat
Lompatlah tinggi tinggi
Cepatlah adik cepat
Bangunlah pergi pergi


Ringkasnya......
Bulak bukan perkara main main. Itu sebab ada orang masih ada di ulu. Mereka takut ‘karam perahu’. Benar benar khuatir ‘tenggelam’. Mereka rasa tidak pandai ‘berenang’ di ‘lautan’. Maklum orang ulu sungai. Sungainya lain. Ikan empurau tak pandai sekolah, tak biasa kena racun serangga dan racun rumput. ‘Ikan laut’ pandai ‘main lompat tinggi’ dengan ‘lompat jauh’ sebab dah lama praktis.

Bulak jangan pikir senang. Walaupun ‘motor cap kuasa kuda raja’ yang bawa perahu turun, tapi badan saja sampai. Semangat masih tinggal. Malangnya bila sampai ke seberang, perahu pulak yang patah semangat gara gara besi berkarat, tak ada minyak pelincir. Macamana nak balik ulu. Itu yang buat lagi tak senang hati ni.

Budak kecik tau apa mereka pasal bulak. Suruhlah dia pergi ulu, mana dia mahu. Takut tidak pandai berenang, takut karam perahu, takut kena sejuk jeram air ulu. Suruhlah dia pergi, tengok mahu ke tidak.

Kita tak apa. Biasa adventure.

Saturday, June 27, 2009

Bangun Pokok Beringin

Pokok beringin tidak mengantuk lagi
Petir kilat sambung menyambung
Musimnya kah langit bersorak sorai
Cendawan senyum ria
Tetapi
Kakiku bersilang di tengah arus manusia
Tudung pagimu terlalu besar menjunam naik
Namun aku bersamamu jua
Kita berlumba sebaiknya
Hingga pemenangnya pasrah
Sehingga pokok beringin tidur selamanya



KOPEK PUISI
Pemuisi merapat perhatian kepada suatu benda hidup yang lagak kedudukannya hanya mengikut arah angin yang jika bertiup ke kanan, tunduklah ia ke kanan dan jika ke kiri, pusinglah pula ia ke kiri mengikut telunjuk, tidak bermaya untuk melawan kuasa alam. Inilah yang cuba digambarkan pemuisi dengan keadaan layu pokok mengantuk. Tetapi gambaran itu tidak sebegitu dalam hal ini. Benda hidup itu bertindak tidak normal. Secara ringkas, ia tidak mengikut telunjuk. Ia mungkir hukum alam dan bertindak berlawanan dengan rasminya kebiasaan.

Pemuisi membawa senario langit yang bergelora besar kemungkinan membayangkan sekitaran yang goncang dan kacau bilau baginya, meskipun mungkin ia adalah suatu keadaan yang bukan luarbiasa kerana langit harus melakarkan kekuasaan dan kedasyatan alam dan misteri tangan ilahi. Dalam konteks puisi, kodrat serta peristiwa yang jauh di luar batasan jangkauan dan kawalannya adalah sesuatu yang menjadi perhatian pemuisi. Samada ia tergoncang kerananya tidak ada sebarang tanda dalam catatannya.

Di dalam memerhatikan sekitaran hebat dan suasana takjub itu di depan matanya, pemuisi sempat mengingat akan masa masa sebelumnya yang besar aman teduh tidak berombak kacau.

Dan pemuisi melihat kesan dan mudarat kepada perubahan musim – suatu lagi misteri alam – apabila secara semulajadi, bercambah serta bertumbuh, ketika dan setelah keadaan kelam dan kabut tiba, muncul pula senario kehidupan lain seolah musim menakutkan itu sebenarnya melahirkan spesis kehidupan jenis baru. Pemuisi melihat transisi kehidupan yang bertentangan. Di dalam dan semasa senja badai rupanya masih ada harapan baru dan timbul generasi lain.

Namun di dalam peralihan kehidupan dan proses perubahan seni yang saintifik ini, pemuisi masih kurang yakin dan kurang percaya akan apa yang dilihatnya.

Pemuisi mendapati dirinya berada di dalam suatu posisi pelik yang tidak menurut jejak jejak orang lain. Janggal baginya begitu berlainan dari yang biasa. Besar kemungkinan kerana ia lain dari majoriti. Dia ketinggalan.

Pemuisi melihat orang lain begitu hebat dan beria-ia mengikut rentak dan norma norma masa sehingga secara perbandingan ia melihat kerdil dirinya. Orang lain diperhatinya mara maju jaya semua.

Berada di dalam kepincangan relatif di tengah kemajuan orang lain, pemuisi mendapati dirinya masih tidak terpinggir seluruhnya kerana merasa dirinya tetap berada di dalam sistem dan masih merupakan ahli masyarakat yang perlu cekal dan bertenaga.

Dan menarik kerana pemuisi walaupun sebelumnya melihat orang lain begitu bermaya, pemuisi masih boleh mengganggap dirinya layak bersaing dan mara terus seiringan orang lain.

Kemungkinan kerana semua yang berlaku pada pemuisi itu adalah hasil kental semangat juangnya, pemuisi juga masih merasai ruang untuk memimpikan kesetaraan dengan orang lain yang tidak pula dilihat telah mencapai kehebatan yang di luar jangkauannya.

Perjuangan melawan daya yang kurang disenanginya itu, walaupun mungkin pemuisi melihat dirinya di dalam golongan peserta garis permulaan berbanding dengan orang yang telah lama berlepas larian, masih melihat kehidupan dan perjuangannya belum tamat. Pemuisi akan terus berada di balapan sehingga selesai, bila bilapun tamatnya.


Friday, June 26, 2009

Jambatan Silap Mata


Menyeberang kilat sudah sampai rupanya
Aduhai terima kasih kuasa mahatinggi
Terjun dari langit segala warisan kuno
Berkat datuk moyang turun bersama
Aduhai
Berderun gelongsor semua mua
Belum sampai rupanya!

Jambatan silap mata puaka kuseberangi
Nenek dan adik kulewati mereka
Aduhai
Seberang sungai mana ini.....
Ayunannya menjunam ke lubuk dalam
Hanyut
Tersadai ke tepian
Dan jambatannya masih tergantung
Di atas awan awan

Tafsiran anda di alu alukan.

Sunday, June 21, 2009

Dua Nama


Namaku sejuk dingin di ulu
Hanya ia turun hanyut seketika
Namaku meronta membalik arus
Berenang belajar dua dunia
Senun* sengat ku belum teruja
Jangan kiranya ku menggeliat terkena tuba

Nama samaranku dikirim ke sarang halaman
Tetap kucari tunggulnya di tengah rimba
Berdayakah terbangku melawan arus
Angin bertanda sumpah

Menghayat nama samaranku
Aku meronta terkena tuba baru
Menghidu nama namaku
Licik keli ulu
Burung jadian samaranku
*sengat

Salam Adu Rindu


Bila ombak merobek pantai
Laut bergelora
Bila pantai menghidu ciuman laut
Angin sepoi sepoi bahasa
Salam rindu sembunyi pergi

Kerana tingginya kau kapalku terombang ambing
Juragan asing terus mencari bintang malam
Angkat sauh!
Turunkan dayung!
Kerana pantai semakin surut
Kilas ke darat hala teropongmu!
Tidak jauh lagi
Cuma beribu batu

Saturday, June 20, 2009

Penyeberangan Malam




Perahu lawat alam maya berlepas pulang lagi
Pendayungnya gelap tampan
Mulia betik* ku berharap mampu menyuap laluanku
Kemari kota berahi semua yang pergi

Nenek lupa memberi pesan moyangku
Tikar usang tiada bersamaku
Hanyut jeram sungai maya kelam
Hitam bukan satu warna lagi

Cepat bawaku ke seberang!
Dingin malamkah seramnya hujung buluku
Cepat bawaku sampai!
Limpas saja lulau daruq, bukit awan dan pari pari itu!
Peduli!
Kayangan tingkat mana satu
*tatoo


Belahan Kulit Puisi
Pemuisi membawa gambaran pelayaran mistik kematian masyarakat kuno orang ulu menyeberangi danau maya ke alam baru meninggalkan kehidupan usia lamanya menuju kayangan. Cuma di sini, di dalam gambaran ini pemuisi melihat pendayung yang membawa ke seberang itu memiliki sifat lahiriah manusiawi yang pada suatu pandangan kilas adalah menawan tetapi juga kurang dimengerti penuh warna sebenar kulit tubuhnya, membayangkan perwatakan yang masih sangsi menyimpan misteri sendiri.

Sebagai penumpang perahu, pemuisi sedar kelancaran perjalanannya itu bergantung penuh kepada persiapan kesukuan (tribal preparedness) nya. [Dalam konteks lokasi, mutu lakaran berdarah pada kulit tubuh (tatoo) menentu keamatan cahaya penyeberangan dan harga bayaran pendayung bisu] Pemuisi bersandar pada apa yang secara tradisi merupakan haknya akan mampu mengampu Si Pendayung untuk membawanya ke seberang tanpa resah dan sebarang kemungkinan buruk. Apa bentuk tanda serta hak yang dimiliki pemuisi besar kemungkinan merujuk kepada apa yang ditemurunkan oleh keluarga dan masyarakat kepadanya. Dalam konteks budaya lokasi, ini tidak lari dari hal kedudukan hairaki dalam struktur sosial kelompok, harta benda termasuk warisan butir inuq* (beads), perkakas rumah seperti tajau, tawek dan sebagainya, simpanan makanan (stor) serta tanah usaha.

Pemuisi seperti bermimpi atau sedang berkhayal ilusi mengajak keindahan seberang itu datang padanya. Besar kemungkinan di dalam usaha penyeberangannya itu, mindanya telah dirasuk oleh lukisan luskisan indah keadaan di seberang.

Seperti tiba tiba sedar dari mimpi, pemuisi teringat akan sesuatu yang memiliki implikasi besar. Samada pemuisi tertinggal sesuatu yang berharga atau pemuisi sedang cuba menyalahkan seseorang yang mempunyai pengaruh besar di dalam hidupnya lantaran kekurangan pada dirinya yang boleh menggoncang perahu penyeberangannya itu.

Pemuisi sedar telah tertinggal sesuatu. Samada ia diperlukan atau tidak di alam baru, pemuisi tidak pula menyatakan apa apa. Yang jelas adalah – yang ditinggalkan itu merupakan sesuatu yang sangat intim dan personal, sesuatu yang telah ada sewaktu kelahirannya dan telah bersamanya dikala terbaring sakit dan di kala bersayang sayang. Pemuisi samada terlupa membawanya atau sengaja meninggalkannya tidak pula dibayangkan.

Dalam meneruskan penyeberangan, pemuisi membuat penilaian sekitarannya. Pemuisi sempat memerhatikan bahaya dan tanda tanda bahaya. Pemuisi melihat kontradiksi dan sedang dalam hangat pergumulan persoalan bermacam macam.

Kepingin sangat untuk sampai, pemuisi melanggar resam bisu, sesuatu yang taboo dalam pelayaran malam. Tanpa rundingan sempurna mungkin kerana mata dan hatinya sudah terpaut di kota seberang, pemuisi lupa adat dan budaya silam. Pantang mulut terbuka dalam pelayaran malam apatah lagi lantang sembarang. Pemuisi telah berbicara dengan pendayung bisu gelap misteri itu!

Setelah melanggar norma larangan itu, pemuisi tahu sesuatu sudah dan akan berlaku, tetapi perlu tabah dan terpaksa menahan segala baham natijah kesan apa pun yang bakal menimpa. Pemuisi sedar perjalanannya itu terkeluar garis penentu dan sempat merasa gerun dan bercelaru mengenang prospek hadapan yang akan mencabarnya.

Seperti tidak peduli sudah akan pelanggaran itu, pemuisi mengikat diri untuk berada di dalam pelanggaran. Menyeluk pekasam sampai ke lengan. Pemuisi memahat hati dan menanam tekad, tanpa peduli lanjut umur budaya pelayaran malam, seperti mengutuk melawan dan membalik arah perahu mencari laluan pintas untuk ke seberang. Pemuisi menulis aturannya sendiri untuk ke seberang.

Pemuisi tahu kesilapannya menyamping re-route tetapi tunas hatinya telah tumbuh muktamad untuk meneruskan arah asing ini. Pemuisi sedar tidak akan sampai ke suasana dan lokasi yang sepatutnya tetapi dengan keterlanjurannya, pemuisi melihat bahawa apa yang akan dinikmatinya adalah seperti better than nothing. Asal sampai ke darat tanpa peduli tebing mana perahunnya melantak.

Friday, June 19, 2009

Surga tua


Kelunan*
Sembayang sebarang
Ataukah sembahyang sembarang
Surga tua menghantui mereka
Hantu surga datang
Siang dan malam di dalam igauan mimpi mimpi
Dan mereka mencari hantu surga

Mati hidup serupa mukanya
Di sana mereka
Telingkup dan tunduk
Tiada malu lagi
Berdiri melompat setingginya
Melangkaui langit biru
Bergema gua lama pertapaan mereka
Surga tua itu
*= orang


Intaian Puisi
Pemuisi mengungkit dalam dirinya rasa takjub hormat ngeri keagamaan. Pemuisi ini mengait hubungan ‘kelunan sembayang’ dengan kepercayaan mereka, yang digambarkan sangat sangat intim dan telah membentuk penuh keperibadian diri mereka. Kepercayaan (agama) mereka menguasai penuh segala tindak tanduk, pola pemikiran dan segala macam pe’el dan perbuatan mereka. Ringkasnya, mereka adalah rupa agama itu sendiri. Konteks puisi melihat bahawa semua orang (kelunan) adalah orang beriman dan kelunan sembayang. Maksudnya walaupun seseorang itu tidak beragama, tidak beragama itu sendiri adalah pegangan agamanya, dan itu menjadikannya kelunan sembayang sebarang. Dari sudut lain, dengan tidak sembayang, itu bererti agamanya yang percaya (atau tidak peduli) kepada yang sembarang. Pegangan dan kefahaman tidak sembayang itu dengan sendirinya adalah anutan imannya. Rangkuman konteks puisi menjangkau semua orang yang percaya dan tidak percaya kepada Tuhan, tidak kira kepercayaannya satu fahaman atau banyak.

Pemuisi tidak menyebut agama apa mereka ini kerana kemungkinan tidak nampak perlunya berbuat demikian. Namun dalam konteks Sungai Asap, yang ramai mereka pengikut kumpulan Kristian Sidang Injil Borneo (singkatannya SIB), mereka sering ke gereja bersama sama untuk menyanyi, berdoa, mendengar khutbah, memberi wang persembahan dan persepuluhan, mengadakan perjamuan suci, mendengar pengumuman dari Ketua Sidang dan Maren Uma’, serta kadang kadang merayakan hari ulang tahun kanak kanak dengan memotong kek. Ahli ahli kekadang tampil ke mimbar memberi kesaksian berupa pujian, pengakuan dosa, didoa untuk penyembuhan dan sebagainya.

Ada juga yang pada namanya beragama Kristian tetapi anutannya bukan Kristian. Mereka mempunyai acara mereka sendiri sendiri sesuai dengan anutan sembayang sembarangan mereka itu. Kristianiti cuma payung langit musim hujan sahaja, tidak mereka pakai sepanjang masa.

Apapun yang dilakukan oleh setiap masing masing orang yang sembayang samada sembarang atau tidak, pemuisi melihat mereka keseluruhannya sebagai satu (kesatuan) dalam hubungan anutan kepada agama dan kepercayaan mereka itu, di mana surga tua menjadi satu pihak yang telah memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan mereka hari hari.

Dan bagi yang tidak beragama itu pula, pemuisi melihat mereka sama sebagai masih kelunan sembayang sembarang. Bezanya cuma mereka tidak ke gereja. Sama seperti yang lain, mereka turut dihantui surga tua mereka sendiri, yang menjelma datang pada mereka, siang malam dimana mana (walaupun mereka tidak menginjak tangga bangunan tempat ibadah ), mereka juga mencari hantu mereka sendiri (tidak kira dimana – samada di gereja, ditokong, di kaki lima, di kedai arak, di toko Toto dan 4D, di batu nisan, di internet dan seterus terusnya. Rumusan: mereka menghidu bau tasap* hantu surga mereka sendiri dan menjadi hantu mereka sendiri.




*tunu




Tidak kira anda mengaku ‘kelunan sembayang’, gantikan ‘mereka’ dengan ‘aku’, seperti berikut ini:




Aku (sebut namamu …………)
Sembayang sebarang
Ataukah sembahyang sembarang
Surga tua menghantuiku
Hantu surga datang
Siang dan malam di dalam igauan mimpi mimpi
Dan aku menghantui hantu surga

Mati hidup serupa mukanya
Di sana aku
Telingkup dan tunduk
Tiada malu lagi
Berdiri melompat setingginya
Melangkaui langit biru
Bergema gua pertapaan lama ku
Surga tua itu

Thursday, June 18, 2009

Jejak Jejak Pagi




Menyingsing bersama pagimu ku terlepas waktu
Tidak kutemui dikau
Lambaian bayangan esokmu masih di ufuk tua
Ku angkat satu satunya mataku
Kelabu

Dinihari menjelma ku jejaki bekas bekas tapakmu
“Hangatkah dakapannya”, kata dunia
Longgar ikat kepalaku hampir jatuh
Namun kaki tempangku enggan berhenti
Merangkak
Demi anak anak ku


Kupasan Puisi
Pemuisi sedang menikmati waktu bersama seseorang atau sesuatu pihak. Besar kemungkinan pemuisi sedang mengikuti atau berada di ‘rumah’ seseorang atau berada dalam keadaan yang telah dibentuk oleh seseorang atau sesuatu pihak. Dalam waktu atau keadaanya menikmati keindahan itu, pemuisi mendapati dirinya kekok kerana tidak dapat mengikuti jejak kebersamaan keindahan yang dinikmati bersama itu. Pemuisi ketinggalan dan tertinggal.

Pemuisi mendapati sesorang atau sesuatu pihak atau sesuatu yang dinikmatinya itu tidak bersamanya lagi. Mengapa ini berlaku tidak pula disentuh oleh pemuisi. Namun besar kemungkinan pemuisi mencari, menggali dan mungkin menggaru semua bahagian, namun tidak dapat mengesan ke mana ‘teman keseronokan’nya itu.

Walapun tanpa ‘teman’nya itu, pemuisi masih ingat dan nampak janji ‘teman’nya mengenai masa depan bersamanya. Apa rupanya janji janji itu tidak pula dinyatakan oleh pemuisi. Di sini pemuisi membuka satu rahsia kecacatannya – bahawa dirinya tidak sempurna. Walapun mungkin penglihatannya terhadap segala sesuatu termasuk gambaran dan janji janji yang pernah dikatakan kepadanya kurang jelas, pemuisi terus memegang janji.

Apa yang dilihatnya samada tidak sejelas dulu ataupun tetap malap seperti dulu, yang jelas adalah pandangannya kabur.

Seperti bangun mendapati ‘teman tidur’nya tiada, pemuisi sedang dalam pencarian kekasihnya yang hilang, bertindak seperti makhluk yang menghidu bekas.

Di dalam pencariannya itu, pemuisi sempat mendengar komentar sekitarannya yang mempersoalkan hubungan mesra mereka sebelumnya. Senyap reaksi pemuisi bertindakbalas terhadap soalan ini, samada ia berbentuk sindiran ataupun teguran.

Dan pemuisi sedang hampir putus asa tidak mampu berpaut pada lakaran janji hari esok yang pernah didengarnya. Namun dalam kesesakan dan mungkin dalam tangisan mencari ‘kekasihnya’ itu, semangat patahnya enggan menyerah semua.

Pemuisi menerus perjuangan dan perjalanan sempitnya. Demi sesuatu yang dilahirkannya kini dan yang akan dihasilkannya kemudian hari, pemuisi harus meneruskan penjejakan.

Wednesday, June 17, 2009

Sungai Asap Sandiwara Kita





Lurus kata kata terpulas bijinya
Langit dilukis cerah
Kanvas sama rupanya sandiwara
Mana mungkin aku menang

Tunduk
Dengan solekan baru
Mencari pelanggankah aku
Hotel simpanan kau perkenalkan
Tiada dara lagi



Arca Balik Karya
Pemuisi menyebut hubungan yang terjalin rupa rupanya memiliki unsur tidak telus. Ada persefahaman yang tidak kena. Wujud pertalian yang tidak ikhlas. Pemuisi menilai janji dan gambaran warna baru yang pernah diwartakan sebagai indah dan menawan. Landasan janji samada tempat baru, sekitaran baru mahupun kegiatan hidup baru dilihat pemuisi sebagai senda lakonan yang tidak tulus.

Pemuisi pantas mengakui tidak berupaya. Pemuisi mungkin menyedari bahawa semua yang telah dan sedang berlaku adalah suatu muslihat dan permainan yang harus menonjol pemenang (dan memakan korban). Pemuisi kalah bulu. Pemuisi pasrah tidak mampu.

Pemuisi mendapati dirinya telah didandan dengan pakaian baru yang mungkin harus dan terpaksa dipakainya. Besar kemungkinan kerana itu satu-satunya pakaian yang ada padanya. Gambaran melacur diri, pemuisi seperti tidak percaya apa yang telah dan sedang berlaku terhadap dirinya.

Sungguh. Pemuisi sedang melihat proses dan transaksi dimana dirinya turut menjadi peserta utama untuk didagangkan. Menyesal atau tidak, pemuisi sedar bahawa telah hilang darinya suatu nilai yang pernah dipelihara tetapi telah digadai dengan rela paksa.

Cermin Konteks
Jika Sungai Asap diteropong memakai kacamata pemuisi, jelas keadaan penduduk yang tidak mempunyai banyak pilihan, harus terus ‘didagangkan’. Berapa pendapatan untuk dikongsikan antara ibu ayam dan ayamnya adalah soal lain.

Tuesday, June 16, 2009

Lompat Lapok Masih Ada Pada Ku




Lompat tupai memang ke tanah rupanya
Lompat datuk membahu mimpi
Bukankah jambatannya mahal
Sungai kecilpun menghantam

Lompat lompat anak katak
Dari kolam rimba bergegas ke pasar
Lalu lompat ibu melenting mencari rezeki

Sawit siapa kau kata?
Tanah sebidang kan rebutan semua
Kau kira aku orang ulu
Ku akui itu
Dalam tawamu
Orang ulu terlanjur
Belangku carik terpendam di dalam
Aku haru biru
Pendatang
Penumpang
Pengganggu
Penunggumu


Cermin Karya
Pemuisi mencengkam kata pepatah orang tua dengan memukul habis kiasan bahawa tindakan yang dikira biasa rupanya berakhir dengan menemui rupa sebenar risiko yang terselit bersama tindakan itu. Pemuisi menilai bahawa telah tercapai kesudahan yang sukar diterima tetapi hakikat buruk telah menimpa. Bahawa sesuatu telah berlaku hasil keputusan yang dibuat semalam, walau apapun dia dari pandangan pemuisi.

Pemuisi mengait pemerhatiannya dengan generasi terdahulu yang memimpin dan mengetuai kelompok keluarga, yang mungkin kerana sesuatu impian mahu melihat perubahan ataupun sesuatu yang lebih indah, telah mengambil keputusan melakukan sesuatu perubahan. Merekalah rupanya yang membawa bersama seluruh kumpulan untuk berubah. Dalam konteks Asap, ini besar kemungkinan bererti sesuatu yang sangat besar implikasinya – bulak.

Memang tidak murah keputusan perubahan yang dilakukan. Untuk membawa mereka ke suatu keadaan baru akan menelan belanja dan kos bukan kewangan (intangible) yang sangat besar. Namun pemuisi melihat dalam kebersamaan kos kos itu, ada juga kumpulan atau ahli masyarakat yang berkeranah dan bertindak melawan arus. Apa bentuk ketidakpuasan mereka, pemuisi tidak pula menterjemahkannya. Ini hanya memberi bayangan bahawa semua peristiwa dan turutan tindakan yang terjadi memberi suatu gambaran yang tidak lancar.

Dan dalam gambaran morfosis kumpulan masyarakat itu ke alam baru, mereka digambarkan sebagai berlumba dan tergesa, besar kemungkinan kerana sekitaran baru mereka yang didapati baru, segar dan menarik (maklum katak keluar dari tempurung!). Mereka besar kemungkinan mendapati diri mereka berada di dunia baru yang menawan dan penuh warna kesukaan.

Dan tiba tiba pemuisi mendapati penjaga kesejahteraan rumahtangga harus bekerja untuk menanggung keluarga. Pemuisi cuba menggambarkan peralihan menurun dari klimaks perjalanan ke alam baru ini. Mengapa ini berlaku, pemuisi tidak menjelaskan di sini.

Dan pemuisi menyebut ‘sawit’, yang diketengahkannya sebagai bahan perbualan dan mungkin juga seruan dan sebutan umum. Besar kemungkinan kerana ‘sawit’ mempunyai kedudukan sebagai pilihan tanaman pertanian yang berpotensi untuk ditanam sendiri, lambang kepada apa yang diura-urakan oleh penganjur perubahan. Sawit tidak semestinya jenis tanaman kerana ia boleh berupa apa jua bentuk lain yang menumpang simbol daripadanya walaupun ia boleh berdiri sendiri di dalam puisinya.

Namun pemuisi mempersoalkan pilihan ‘sawit’ dari pandangan penggunaan tanah yang sempit dan besar kemungkinan turut diusahakan dengan tanaman lain. Persoalan pemuisi ini sekaligus membayangkan kesulitannya menerima keputusan awal yang dibuat oleh pemimpin mereka untuk membawa mereka ke alam baru. Isu tanah sempit ini dilihat bukan sahaja dari segi persaingan jenis tanaman tetapi dari kacamata pembahagian hak kepada kepenggunaan tanah itu yang mahu tidak mahu harus ditelan kini.

Pemuisi lalu memalingkan ucapannya kepada seseorang atau sesuatu pihak yang memperbodohkannya, dan mengakui bahawa dirinya sungguh telah diperbodohkan. Dan melihat bahawa seseorang atau sesuatu pihak itu mentertawakan kedunguannya itu.

Pemuisi seterusnya mengakui akan keputusan dan keadaan kelompok mereka yang telah membuat suatu keputusan yang tidak dapat ditarik balik, dan terpaksa menghadapi segala kesudahan. Seperti pasrah dan harus menerima hakikat dengan segala dayanya, pemuisi ringkas dan tidak berlarutan membebelkan penyesalan.

Namun seperti ada kekuatan dalaman tersimpan, pemuisi mengangkat semangat kuno yang ada padanya. Seperti dalam luka peristiwa yang mungkin telah memberinya kesedaran baru, pemuisi melihat dirinya di dalam beberapa posisi – termasuklan sebagai pendatang (ke suatu tempat baru), penumpang (di antara penghuni lama yang tidak merestui dan membenarkan mereka menginap lama), pengganggu (kerana tidak sehaluan) dan yang terakhir – ‘penunggu’ – seperti pemuisi telah meyimpan dendam menunggu waktu bertindak terhadap seseorang atau sesuatu pihak.

Friday, June 12, 2009

Pancuran Teliq* Hidup


Hangat bawah selimut ku kira sepanjang malam
Atap zink juga bocor seperti rumbia
Langkah kirikah dulu kakiku ini
Sepoi angin tidak semestinya sapaan bahagia
Di awal pagi peninggalan itu
Yang bersuara dulu pengulu penghulu

Hanya tengah hari di sini guanya sempit
Tidak kutemui bulu' atung**
Buatku menganyam lagi
Untuk melengkapi lamin kukunku

*pancuran air buluh
**sejenis bambu pelbagai guna

Tenung Karya
Salah perkiraan pemuisi menjangka perlindungan serta kesenangan itu berlarutan terus. Pemuisi di dalam kesedaran nyata bahawa sesuatu tidak menjadi seperti yang diharapkan. Perlindungan baru yang ditemuinya rupanya sama rapuh dengan yang lama. Ini besar kemungkinan merujuk kepada keadaan lamanya yang tidak jauh berbeza dari keadaannya kini. Dalam pandangan kilas, pemuisi meletak harapan tinggi pada kekukuhan keadaan atau tempat baru yang secara luaran kelihatan lebih menarik, tetapi rupa-rupanya tidak jauh berlainan.

Terus pemuisi mempersoalkan diri dengan mencari kesalahannya sendiri. Mungkin perkiraannya semasa mengorak langkah untuk bertukar teduh itu ada silapnya. Kini pemuisi harus mengakui menemui suatu pengalaman kesedaran baru. Indah khabar dari rupa.

Mengimbas permulaan peristiwa itu, pemuisi turut mengheret persoalan dilema ini kepada kumpulan utama yang merangka keputusan mengangguk perubahan – para penunjuk dan ketua ketua masyarakat.

Dan kini pemuisi mendapati tempat baru itu sempit dan terhad, samada dalam sinaran fizikal berhubung kawasan tanahnya mahupun dari sudut lingkungan kegiatan kehidupan sehariannya, yang besar kemungkinan masih mirip bercorak tradisi lama seperti yang diamalnya di tempat lama. Ada juga kemungkinan ini membawa erti kongkongan kepada satu bentuk penindasan.

Mengalih mencari sesuatu yang pelbagai kegunaan dan keupayaannya, dan besar kemungkinan melambak di tempat lamanya, pemuisi tidak menemuinya di sini. Pemuisi menjelaskan kaitan pencarian itu dengan lakaran suasana dan keseronokan yang masih diidaminya dan diwarisi kepakarannya, sesuatu yang besar kemungkinan telah dipelajari semasa kecil atau remajanya.

Pemuisi mengaitlanjutkan usahanya mencari sesuatu yang dapat menghias penuh kedudukan atau bahagian hidupnya yang kritikal. Besar kemungkinan ini merujuk (dalam konteks budaya orang ulu) kepada tempat makanan segar senantiasa dibawa (constant fresh supplies) dan tempat dimana ahli keluarga biasanya memproses segala pendapatan dari pencarian (catches) untuk dibahagi-ratakan kepada ahli keluarga jauh dan dekat. Malangnya, semua itu, seperti yang dikatakan pemuisi sebelumnya, tidak ditemui di sini.