Wednesday, May 27, 2009

Suara Noda



Berkalilah kakiku tempang
Berpanas dalam gerimis cuaca

Nipis manismu teman
Kauhampiri tidurku

Kini mendungpun mencaci
Tudung benga* tidak bertutup
Rimas dalam dakapan hampir malam
Purnama menunggu sayu

*nganga, menganga, terbuka

Renungan Sepintas Lalu
Kita mengetahui sedikit sebanyak mengenai sejarah dan latar belakang pemuisi yang pernah tempang – dalam erti jatuh dalam perjalanan dan berada di dalam situasi tidak mampu. Jika itu pernah mengganggu dan menghantuinya, pemuisi kini berdepan pula dengan kemungkinan hinggapnya malang yang sama melanda dan menimpa. Perjalanan dan mungkin pengalaman buruk serba serbi kekurangan akan menghempas menjadi senario tidak mustahil baginya. Senario buruk dan malang ini berganda dan menyayat kerana pemuisi melihat sekitaran iklim kehidupannya yang sudah jatuh ditimpa pula tangga. Dalam dingin hujan, pemuisi masih boleh merasa pelik panas, bercanggah dengan harapan dan impian. Indah khabar dari rupa. Kenyataan rupanya memiliki muka lain.

Pemuisi memalingkan mukanya kepada seseorang (atau kepada sesuatu atau pihak tertentu) yang pernah dikenalinya, dan mencampak sinis tamparan sungut tali persaudaraan yang pernah dikecapi baik tetapi rupa rupanya rapuh dan berkecai. Yang dianggap rakan setia dan sahabat baik tidak seperti yang diharapkannya. Pemuisi sedar dirinya dinodai, walaupun tidak seteruk yang dapat dikatakan musnah, pemuisi bersyukur telah sedar dari kealpaan. Ini memberi semangat baru untuk pemuisi meneruskan sisa sisa jalan huyung hayangnya.

Pahit ditelan kerana telah terlanjur, walaupun malap dan sukar baginya mara kerana kutukan dan nistanya komentar dalaman jiwanya, masih ada padanya harapan terbuka. Pemuisi melihat masa depan yang walaupun rumit dan sulit, tetapi di kala pemuisi sedar dan bangkit, hari yang ada baginya masih ada sinarnya. Esok masih ada.

Ceritera ini besar kemungkinan merupakan pengalaman bercelaru pemuisi yang terbuka matanya melihat bagaimana nasibnya tidak membaik apabila berpindah ke Sungai Asap. Penganjur kepada perpindahannya dilihat sebagai duri dan pengkhianat. Pemuisi kini menjadi nekad untuk melakukan apa sahaja untuk menjana hidup baru walaupun tidak diberitahu apa kerja, bagaimana dan di mana pemuisi akan berada.

No comments:

Post a Comment