Thursday, May 28, 2009

Ayam Sabungku Berkokok Malam


:Untuk renungan para pemimpin, ketua dan boss boss

Kau kugantung idola
Hero komikku
Bujang Senang
Selicik itu keganasanmu
Seperti di gelanggang laga

Kau mengiringi musim
Pakar main kuuk-kuuk
Now you see...
Now you don’t!

Di mana dikau?
Hari sudah jauh malam
Berkokoklah bagiku
Juara





Kupasan Ringkas
Tidak sukar menyelami dan mengunggangbalikkan inti hati pemuisi yang hampir bosan dengan ayam sabungnya yang telah memenangi banyak gelaran kejuaraan tetapi bukan main liciknya. Si Juara yang dipujanya memiliki agenda dan rutinnya sendiri, tidak pernah bersua laluan dan bertemu muka dengan pemuisi semenjak perlantikan dan pemilihan besar suatu ketika dahulu yang mengangkat gemuruh kemenangan Si juara.

Rupanya kehebatan Si Juara yang telah meraih kemenangan suatu ketika dahulu turut dipamerkan dalam kelicikannya menghilangkan diri (main kuuk kuuk) setelah itu. Pemuisi penuh pertanyaan tentang keberadaannya. Pemuisi terpaksa akur tentang kebolehan luarbiasa silap mata Si Juara melenyapkan dirinya dari pandangan seolah olah ia adalah satu dari permainan yang telah dikuasai penuh segala rahsia tatacara dan undang undang permainan (the rules of the game). Namun pemuisi tetap peminat dan pengikut setia, tetap sejati kesetiaannya menanti dan menanti untuk melihat dan mendengar kokok Si Juara kalaupun tidak bertemu dengannya, yang walaupun telah sekian lama dan hampir akan muncul sekali lagi pusingan penentuan baru, Si Juara masih belum mengipas bayang bayangnya. Pemuisi terus berpaut pada harapan akan melihat sekali lagi Si Juara mempamer kehebatan saktinya dan sebelum itu akan menyaksikan sesuatu yang unggul, sesuatu yang biasa dilakukan oleh mana mana Juara – merakusi nikmat kejuaraan itu! Cuma janggalnya waktu ini kerana musim akan berubah tidak lama, dan pemuisi berharap dan kekadang termimpi, untuk Si Juara muncul menunjukkan pingat kurniaan dan tongkat gelarannya.

Ini adalah ceritera sedu hubungan tepuk sebelah tangan antara pemuisi dengan seseorang (atau sesuatu atau pihak tertentu). Setelah menjawat kedudukan tinggi, si Juara ‘main kuuk kuuk’ memaparkan keberadaannya dengan memaparkan ngeri lesap untuk pandangan rindu sepi pemuisi. Samada kerana pemuisi tidak pernah berusaha mencari si Juara untuk menyelam empuk kemenangannya, tidak pula dijelaskan. Yang jelas walaubagaimanapun adalah pemuisi yang seperti kanak kanak meréngék mencari cari maminya pada masa yang sama ketika waktu sedang berlalu menghampiri pusingan baru Sang Mahakuasa akan menentu teraju. Pemuisi masih berharap si Juara muncul mempamerkan belang juaranya sebelum itu.

Wednesday, May 27, 2009

Suara Noda



Berkalilah kakiku tempang
Berpanas dalam gerimis cuaca

Nipis manismu teman
Kauhampiri tidurku

Kini mendungpun mencaci
Tudung benga* tidak bertutup
Rimas dalam dakapan hampir malam
Purnama menunggu sayu

*nganga, menganga, terbuka

Renungan Sepintas Lalu
Kita mengetahui sedikit sebanyak mengenai sejarah dan latar belakang pemuisi yang pernah tempang – dalam erti jatuh dalam perjalanan dan berada di dalam situasi tidak mampu. Jika itu pernah mengganggu dan menghantuinya, pemuisi kini berdepan pula dengan kemungkinan hinggapnya malang yang sama melanda dan menimpa. Perjalanan dan mungkin pengalaman buruk serba serbi kekurangan akan menghempas menjadi senario tidak mustahil baginya. Senario buruk dan malang ini berganda dan menyayat kerana pemuisi melihat sekitaran iklim kehidupannya yang sudah jatuh ditimpa pula tangga. Dalam dingin hujan, pemuisi masih boleh merasa pelik panas, bercanggah dengan harapan dan impian. Indah khabar dari rupa. Kenyataan rupanya memiliki muka lain.

Pemuisi memalingkan mukanya kepada seseorang (atau kepada sesuatu atau pihak tertentu) yang pernah dikenalinya, dan mencampak sinis tamparan sungut tali persaudaraan yang pernah dikecapi baik tetapi rupa rupanya rapuh dan berkecai. Yang dianggap rakan setia dan sahabat baik tidak seperti yang diharapkannya. Pemuisi sedar dirinya dinodai, walaupun tidak seteruk yang dapat dikatakan musnah, pemuisi bersyukur telah sedar dari kealpaan. Ini memberi semangat baru untuk pemuisi meneruskan sisa sisa jalan huyung hayangnya.

Pahit ditelan kerana telah terlanjur, walaupun malap dan sukar baginya mara kerana kutukan dan nistanya komentar dalaman jiwanya, masih ada padanya harapan terbuka. Pemuisi melihat masa depan yang walaupun rumit dan sulit, tetapi di kala pemuisi sedar dan bangkit, hari yang ada baginya masih ada sinarnya. Esok masih ada.

Ceritera ini besar kemungkinan merupakan pengalaman bercelaru pemuisi yang terbuka matanya melihat bagaimana nasibnya tidak membaik apabila berpindah ke Sungai Asap. Penganjur kepada perpindahannya dilihat sebagai duri dan pengkhianat. Pemuisi kini menjadi nekad untuk melakukan apa sahaja untuk menjana hidup baru walaupun tidak diberitahu apa kerja, bagaimana dan di mana pemuisi akan berada.

Tuesday, May 26, 2009

Penagih Puaka


Antara madu dan lebah
Sengat dan kecantikanmu
Kau tahu sekerat
Seluruh sekerat

Tebarkan saja kemana mana
Penagih menunggumu
Puaka apa ini?

Antara mereka siapa berani
Antara mereka siapa berdiri
Siapa mereka
Ku sudah kira kira
Potret wajah mereka belum selesai rupanya

Kupasan Puisi
Gambaran perbandingan nyata ‘action-result’ membawa pemuisi mengheret pandangannya kepada suatu golongan pembawa berita hangat yang penuh gagah dan menarik. Lebah mungkin membawa madu tetapi punya sengat berbisa yang kalau silap hitung boleh membawa padah. Namun pemuisi senyap tentang siapa mereka yang diheret dalam perhitungannya. Pemuisi hanya sempat memberi petunjuk tentang keilmuan mereka yang arif dalam bidang mereka, walapun hanya terhad dalam bidang mereka itu sahaja. Ada kemungkinan mereka ini expert dalam industri dan sains tertentu sahaja, yang walaubagaimanapun membuat takjub dan menawan hati pemuisi.

Pemuisi menilai mereka ini mendapat tempat yang empuk dan enak di mata orangramai yang bukan sahaja menunggu tetapi menagih seperti dalam mengira hutang lama yang tidak tidak berbayar. Yang menghairankan walaubagaimanapun adalah saranan pemuisi untuk mereka ini berpacaran dengan mereka – untuk menjangkaui mereka seperti menangkap ikan. Ini mungkin seperti strategi mencari pengikut setia sembrono, harap harap ditemui dalam jerat maut. Hidup mewahnya akan bergantung kepada berapa banyak tangkapan jaring dan bubu yang dipasang. Walaubagaimanapun pemuisi menjumpai sedikit pelik dalam senario kelabu yang kurang mengerti tarikan maut sehingga ada unsur unsur extrimism dan fanatik muncul. Puaka.

Pemuisi berikutnya melihat mereka sebagai suatu kelompok yang sama belang dan warna bulu mereka, tetapi mungkin ada yang lebih menonjol dan lebih menampil. Persoalan dalam pencarian pemuisi adalah antara ramainya mereka itu yang kelihatan serupa tetapi belum difahami penuh asal usul dan tujuan mereka, pemuisi harus mencari dari antara mereka yang dapat dikenalpasti menyengat. Malangnya pemuisi sehingga kini belum menemui dari mereka yang telah dipilihnya.

Mungkinkah keputusan pemilihan pemuisi (yang telahpun dibuatnya) belum memuaskan hatinya? Mungkinkah dia yang telah ditawan hatinya untuk memberi madu hanya menyengat? Jawapan pemuisi kabur.

Pemuisi besar kemungkinan meniupaksa kerongkong mengenai pemimpin (dan mungkin juga orang politik) di Sungai Asap yang walaupun memiliki baju belang dan lencana negara, dan mampu menghimpun madu dan bersengat, namun tidak memberi kepuasan kepada pemuisi.

Saturday, May 23, 2009

Selaman Dingin Parek*


Menyelam ku ada dia
Semalam datang lagi kini
Berkali kali menagih

Berita cuit duit kau hulurkan
Cuma ombak dan deras menghanyutkan
Imbasan berulang lagi

Baru seperti kelmarin
Bulan alut** dan jerat lutsinar
Penuh peluh dingin indah
Kusepit sepit mereka
Menyeronokkan

*semah
**burit prahu


Renungan Karya
Pemuisi meletakkan dirinya ke suatu keadaan lalu yang segar dalam ingatan, dan sukar ditempiaskan. Pemuisi sedang memikirkan dirinya berada di lokasi yang sering dan terlalu biasa buatnya, kemungkinan besar zaman remajanya ketika di ulu.

Tetapi ada perubahan terhadap dirinya (mungkin masyarakatnya) apabila ditawarkan perkara baru di sesuatu lokasi baru yang diibaratkannya sebagai ombak dan deras yang menghanyutkan. Pemuisi mungkin mendapati dirinya tidak berupaya mengharungi perubahan ini, namun terpaksa bergumul meninggal dan mengenepikan sesuatu yang mendatangi ingatannya acapkali.

Pemuisi tanpa daya dan mungkin tidak dapat berbuat apa apa, hanya berupaya mengupas lebih jelas pengalaman masa lalunya. Hujung perahu yang diingatinya (mungkin kerana sering berada di sana) serta menghulur pancing (atau menebar jala atau menghanyut pukat) yang sudah tentu jawapannya adalah menjerat/menangkap ikan, serta pengalamannya menawan mereka memberi tamparan indah akan keseronokan berada di dalam dingin air jernih.

Pemuisi jelas tidak mampu melupakan sama sekali untuk tidak berulang ke ulu mencari ikan. Besar kemungkinan, pemuisi hanya mencari peluang sedikit sahaja untuk menerajang perahu ke ulu gara gara semah dan juga empurau yang tidak diperolehi di Sungai Asap.

Samada empangan Bakun memberi ruang dan peluang kepada pemuisi untuk melawat kegairahan remajanya, itu adalah perkara lain.

Friday, May 22, 2009

Tumpang Jalan


Terbang atas turun
Angin dingin tidak terasa
Dayung kiri kanan
Pusing memusing mencari
Berusaha mencuri waktu
Mata, tangan, kaki sejiwa
Kekadang geram gerun gergasi balak,
Diakah Raja Jalanan?

Cis...lubang jahanam
Sempit sayapku sudah
Panjang dan loyah
Siapa tidak goyah

Kupas Karya
Pemuisi sedang dalam perjalanan, besar kemungkinan pulang ke Sungai Asap dari Bintulu, menaiki kenderaan air-con, perjalanan tanpa memijak tanah, jelas berlainan dari cerita datuk neneknya dahulu kala yang mengharungi lembah dan gunung, mereda rimba dengan kekuatan dua kerat kaki tidak beralas.
Apa yang didayung kalau bukan perahu; cuma dalam imbasan pemuisi memandu sendiri kenderaannya, mengikut arus dan arah jalan kekadang naik dan turun bukit, kekadang membelok kiri kanan.
Dalam perjalanan yang tidak sampai sampai (mungkin pemanduannya sangat berhati hati dan perlahan sebagai pemandu berhemat), seluruh konsentrasinya adalah pada kenderaan dan jalanraya, yang disedarinya sebagai turut ditumpangi bersama oleh lori lori balak yang kurang disenanginya. Mungkin kerana ragam serta lagak lori lori balak ini menempatkan diri mereka sepanjang jalan Bakun ini (ada yang dari depan dan ada yang datang dari belakangnya) secara berbahaya dan membahayakan, pemuisi menemui dirinya bertanya kedudukan, gelaran, pangkat serta keangkuhan lori lori ini.

Dalam perjalanan penuh cermat itu, pemuisi menemui rekahan jalanan (potholes) yang bukan sahaja memudaratkan perjalanannya tetapi mencacatkan kenderaannya. Pemuisi menghardik kosong menyumpah keretakan dan kerosakan kerosakan ini sambil mendapati dirinya terpaksa lebih memperlahankan perjalanannya. Ada kemungkinan kenderaannya turut cedera, dan dengan hampa memaksa dirinya meneruskan apapun perjalanannya itu, dengan lebih perlahan, takut perkara lebih buruk boleh menimpa kenderaannya ataupun dirinya (kita kurang jelas pemuisi membawa penumpang).

Ceritera ini memberi sinar gambar teruk jalan ke Sungai Asap yang bersaing (dan menguasai) penggunaannya oleh lori lori balak, yang merupakan culprit menjahanamkan tar jalanan.
Walaupun tiada apa apa dikatakan oleh pemuisi tentang tanggungjawab road maintenance, dan mungkin juga banyak luahan tidakpuashati dihumban, kenyataannya kini (sekarang ini- tahun 2009) masih seperti perjalanan pemuisi ini, yang barangkali sudah bosan ataupun sudah layu merayu dan mengadu.

Jari Internet


I T itu katamu maju
Asing lesap berlalu
Kutangkap tetapi terlepas
Dalam gaam* ku pelajari mimpi

I T katamu masih itu
Kenapa luasnya dikira kira
Kutemui di sana
Masih kah ada?


*genggaman

Renungan
Dari mata teropong asap, orang ulu moden ini bercakap kepada seseorang (atau sesuatu atau pihak tertentu) mengungkit IT sebagai kemegahan perubahan yang dikatakan kemajuan, lambang, simbol dan justifikasi perpindahan.
Namun sesuatu (mungkin segala yang berlaku) yang sukar difahaminya memintas begitu laju tanpa ia fahami. Pada satu peringkat dan hingga ke suatu tahap, pemuisi mengakui mengalami perubahan (termasuk IT) tetapi tidak berupaya mengekal kelajuan pelayaran serta advancement, sehingga ia menyedari bahawa apa yang dipelajari, dimiliki serta diketahuinya adalah sesuatu yang di luar jangkauan keupayaan pengertiannya.

Pemuisi mengenang dan mengingatkan seseorang (atau sesuatu atau pihak tertentu) tentang komunikasi sebelum yang besar kemungkinan berupa janji tentang hakikat dan kebenaran kata katanya (atau mereka). Memperkata dan mempersoalkan kebesaran dan complexity perubahan dan terknologi baru yang diura ura dan sering diguna dalam isu isu semasa seperti menempiaskan alasan semata mata, pemuisi menyuarakan diri mengetahui tolak dalih di dalam senario kini, dan seterusnya membangkitkan soalan samada perkara ini akan berlarutan seperti ini tanpa perubahan nyata atau akankah ada perubahan nyata.

Pemuisi mengeliat terkepit dalam menilai kemajuan dan slogan pembangunan yang mentradisikan rutin dan kebiasaan hidup sekitarannya.

Thursday, May 21, 2009

Harapan Maya


Terangkah masih kaburmu
10 tahun berlalu seperti baru semalam
Kita berpisah dan bertemu
Hanya
Masih menunggu meraba

Kelamkah terangmu
Dari sini masih jauh
Aku bersama siapa
Hanya
Masih kah ada dia



Rangkap 1
Berada di persimpangan, pemuisi berisi persoalan dan pergumulan, memulai lidahnya dengan harapan gemilang (‘terang’) pembaruan kehidupan semenjak 10 tahun lalu, hanya menyedari kini seperti mimpi (‘seperti baru semalam’) bahawa keadaannya tidak banyak berbeza. Namun pemuisi berharap akan ada kenyataan dalam perubahan.

Rangkap 2
Sambil pemuisi mengiktiraf ‘terang’ (perubahan positif) tetapi mempersoalkan mutu terang itu sebagai kelam, dan berbeza dari sudut pandangan peribadi dalam rangkap 1, pemuisi melihat ke arah luar dengan merujuk soalan itu kepada orang kedua. Dari sudut pandangan masadepan yang dikira belum tentu apa bentuknya, pemuisi mempersoalkan sokongan dan bantuan dari seseorang atau sesuatu yang pernah ada tetapi mungkin telah menghilang sehingga pemuisi mencari dalam persoalan akan kepastian.

Apakah akan berlaku kepada pemuisi – dalam Harapan Maya – yang besar kemungkinannya merujuk kepada kehidupan baru setelah berpindah gara gara Bakun. Teropong Asap mungkin tidak nampak semua, samalah seperti pemuisi yang tidak tahu apa akan berlaku, walaupun masih berharap, tetapi mengakui bahawa 10 tahun tidak banyak memberinya lantai kukuh untuk mengharap terang atau berharap menemui ‘dia’ yang telah membawanya pindah ke Sungai Asap Koyan.